Pusat Rehabilitasi PERKESO Menyokong Pemulihan Menggunakan Robot

Otak manusia mempunyai dinamik yang menukar kemungkinan kepada fungsi pembelajaran semula, tidak seperti organ lain. Otak mengandungi sel saraf atau neuron yang bersambung antara satu sama lain.  Pembelajaran berlaku melalui pertukaran kekuatan pada sambungan tersebut dengan menambah atau mengurangkan sambungan atau melalui pertambahan sel baru. Terma inilah yang dipanggil neuroplasticity.

Disebabkan itu, bukan mudah untuk pesakit strok dan lumpuh pulih seperti sedia kala. Selain perubatan dan rawatan fisioterapi, mereka memerlukan semangat yang tinggi untuk kembali menikmati hidup berkualiti, sama seperti sebelum serangan berlaku.

Lokomat®Pro, Armeo®Spring dan Erigo® merupakan inovasi daripada syarikat pengeluar Hocoma yang menggunakan konsep neuroplasticity dalam membantu pesakit yang mengalami masalah pergerakan. Kini dengan adanya mesin robotik,  pesakit strok dan lumpuh akibat kecederaan otak traumatik dan saraf tunjang boleh menjalani rawatan pemulihan dengan lebih selesa dan intensif. Malah penggunaan  mesin buatan Switzerland yang terbukti mampu membantu pesakit kembali berjalan semula itu sudah dipraktikkan di negara Jepun, Australia dan Singapura.

Kajian menunjukkan, 50 peratus peningkatan pada fungsi neurologikal pesakit menggunakan Lokomat®Pro, Armeo®Spring dan Erigo®. Ini bermakna, pesakit mempunyai lebih peluang untuk berjalan dan bergerak seperti biasa semula.